rss
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon More
twitter

Tuhan Manusia

Posted on 10:27 PM by halim qittun




andai kota adalah peradaban

rumah kami adalah budaya
dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama

Ulasan buku kali ini mengupas satu judul buku rentak pena Faisal Tehrani. Tuhan Manusia sememangnya buku yang sarat dengan mesej. Pengolahan bahasa yang tinggi menyantuni aspek agama dan budaya, sememangnya Tuhan Manusia sesuai untuk pembaca yang gemar berfikir, menganalisis, bermuhasabah, dan mensimulasi. Tidak seperti kebanyakan novel lain, Tuhan Manusia tidak menekankan daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi kerana matlamat Tuhan Manusia adalah menyentuh aspek pluralisme yang semakin meruncing. Mesej yang ingin disampaikan lebih jelas sehingga memperlihatkan buku ini seperti bahan bacaan ilmiah yang berat.

Membawa pembaca menyelami perasaan si adik yang berdepan dengan fenomena murtad dan keadaan sekeliling yang menjunjung pluralisme, Ali Taqi menjadi betah dan memperjuang nasib umat Islam. Untuk sesiapa yang tidak tahu apa itu pluralisme, ianya adalah satu fahaman yang menerima semua agama adalah sama tarafnya.

Memetik dialog Ustaz Mujtaba dalam novel ini:

"pluralisme sama sekali tidak, tetapi kita boleh sahaja bertoleransi dengan penganut agama lain. Malah tolak ansur itu, tunjang keistimewaan Islam. Kita hendaklah faham akal yang sihat menolak sama sekali pluralisme. Bagaimana kita nak menerima yang Islam itu memperakukan keEsaan Allah dan dalam masa yang sama memperakukan pula agama Kristian yang menerima teologi triniti iaitu adanya Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Dua perkara bertentangan tidak boleh diterima."

Siapa yang dapat mendepani hakikat apabila orang yang akrab dengan kita menjadi mangsa gejala murtad? Keadaan yang menggasak Ali Taqi menyebabkan dia bangkit menentang gejala pluralisme tersebut. (pluralisme salah satu punca gejala murtad).

Mengambil latar tempat di sekolah, FT juga menekankan fahaman pluralisme turut berlaku di situ. Perjuangan Zehra dan bapanya yang bersungguh-sungguh menyebar ideologi pluralisme boleh kita tamsilkan usaha-usaha golongan liberal yang wujud di negara kita. Mirip sekali dengan perwatakan bapa Zehra, Encik Aris Iskandar yang digambarkan petah berbicara telah mempengaruhi masyarakat agar ideologi pluralismenya diterima. Dan sememang realitinya begitu. Orang-orang yang berpengaruh menjunjung pluralisme secara sedar atau tidak berjaya menyebarkan fahaman tersebut terutama sekali kepada golongan marhain.

Keberanian Ali Taqi menganjurkan forum tentang pluralisme adalah idea FT yang boleh kita fahami bahawa masih ada jalan atau cara atau tindakan yang boleh dilakukan bagi menangani masalah pluralisme ini. Aspek kekeluargaan dan prinsip jelas di sini tertama sekali apabila bait-bait kata emak Ali Taqi terakam di setiap bab. Selain menjadi pegangan Ali Taqi, FT secara signifikan ingin memahamkan pembaca bahawa Agama tidak sesekali mengenepikan soal budaya bahkan menyantuni dan bertoleransi dengan agama dan budaya lain.

Mengulas novel Tuhan Manusia ini seolah-olah membuka satu laman baru tentang perbincangan pluralisme. Ada baiknya kalau pembaca sendiri memilikinya. Teringat kata-kata sahabat ketika saya memiliki buku ini. Katanya, baca Tuhan Manusia boleh rosak aqidah. Terkesima seketika. Tetapi dapat disimpulkan fahaman pluralisme benar-benar telah menular sehingga kita tidak sedar orang yang rapat dengan kita juga menjadi mangsa. Dalam membicara haq dan batil, khata' dan sawwab, seharusnya kita bersedia mendepani apa jua cabaran terutamanya cabaran diri sendiri.

qittun: rugi tak baca..



No Response to "Tuhan Manusia"