laman ini adalah perkongsian hasil-hasil karya berbentuk cerpen, sajak, puisi ulasan buku dan lain-lain. Karya yang tidak dinyatakan sumber adalah hasil nukilan penulis sendiri yang diadaptasikan dari realiti, dan karya-karya yang terpilih dari penulis lain adalah berbentuk ilmiah dan bernuansa Islami. Sesiapa yang berminat untuk berkongsi karya anda boleh layarkan ke archimyxtream@yahoo.com
Ahad,
Batang Berjuntai,
Rawang, selangor
Mentari memancarkan sinarnya. Terbit garang dari celahan lelangit. Peluhku merenik. Mataku melirik jam di tangan. Lagi beberapa minit jam dua belas menjengah. Kepanasan yang luar biasa seakan mematahkan niatku untuk terus bekerja. Namun, ku gagahi jua. Terpana mata ini menangkap kegigihan ibu yang menghampiri usia 60 tahun dalam keadaan yang begitu hiba. Genggaman cangkul di tangan dipegang erat bagaikan ianya akan lari. Kata-katanya menerjah ke kotak fikiran ku. "Acu, hidup bila dah usia macam ibu ni, selain berbakti pada Allah, pada tanah le kita kena berbakti. Kat situ jugak kita akhirnya".
Pukk! Lamunanku serta merta hilang diterbang angin petang. Seraya mendengar bunyi tersebut, aku berjalan ke arah ibu. Ku lihat muka ibu pucat. Mungkin terlalu gigih bekerja. Kalau diikutkan, bukanlah aku bersungguh sangat mahu berkebun hari ini. Tapi, pandangan mata ibu yang menyeret seribu pengharapan menyerbu menggigit-gigit perasaanku. Ku minta ibu berehat di pondok. Sambil itu, ku sudahkan sisa-sisa kerjanya yang masih berbaki. Aku bulatkan dalam atmaku, kerja yang ku lakukan ini adalah mencari keredhaan Allah. Biar hati ku dipaut ketenangan. Biar kepanasan menampar muka ini.. aku bantu ibu, kerana Allah. Kemudian aku nyalakan mancis. Ibu telah memintaku membakar dedaun kering yang dikumpulnya tadi. Aku duduk termenung sambil mengais-ngais ranting dan dedaunan kering. Kayu-kayu kecil ku campakkan ke dalam lautan api kecil.
Bahang api menari-nari, menghembuskan kepanasannya seolah-olah aku berada di tempat pemanggangan. Pada mulanya, aku cuba menjauhkan diri. Tetapi aku memilih untuk berada berdekatan dengan api tersebut. Peluh-peluh merembes berebut-rebut keluar dari rongga tubuhku. Alangkan api di dunia sebegini kecil tidak mampu ku tahan, bagaimana dengan api neraka? Serta-merta aku dipupuk keinsafan dan rasa takut. Ranting-ranting kayu dibakar sehingga menjadi abu dalam masa yang singkat. Tetapi, bagaimana pula api neraka menghangus dan menjadikan manusia sebagai bahan bakarnya? Ya Allah, di manakah tempat aku di akhirat kelak? Benarlah, dengan berbakti pada tanah membuatkan kita lebih mudah mengingati mati. Alam ciptaan Allah sentiasa mendidik jiwa mendekati-Nya.
1 Response to "berbakti pada tanah"
salam alaik..baru menjengah disini..
rasanya 'acu' ni lagi sesuai tulis cerpen atau novel..try la buat cite panjang sikit..mesti best..then leh publish..macam aisyah mat dahan.. selamat maju jaya..
Post a Comment