rss
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon More
twitter

bingkisan warkah

Posted on 12:14 AM by halim qittun


Bismillahirrahman arraheem wabihi nasta’ieen. Wasolatuhu wasalamuhu a’la asyraf el-anbiya’I walmursalin. Wa a’la alihi wasohbihi ajmai’een. Thumma amma ba’du. Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Menemui kembali teman seaqidah seperjuangan, semoga sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Allah. Moga-moga urusan entum dipermudahkan insya’Allah. Barangkali ada di antara entum yang terkesima menerima warkah dari ana secara mengejut. Bahkan mungkin ada juga yang memikirkan atas alasan apa ana melayangkan warkah ini. Apa, ana bermimpi di siang hari kah? Namun, percayalah entum. Sesungguhnya percaturan hidup kita ditentukan oleh Yang Maha Kuasa. Biar kita dianugerahkan akal tetapi ruh kita, jasad kita , hati kita segalanya milik Allah. Atma ana merintih minta diluahkan ilhamnya. Gerak hati, setiap denyut nadi dan detak nafas ana digerakkan oleh Yang Maha Bijaksana. Minta diterjemahkan melalui penulisan. Lantaran itu, apa yang entum saksikan inilah, warkah mewakili ana yang kadangkala masghul dibatasi waktu. Yang merasa peritnya hidup dalam kewajipan dan amanah yang tidak sudah-sudah merantai diri. Namun, siapalah ana ini? Ketika di alam rahim lagi, janji kita pada Yang Esa untuk memakmurkan bumi. tetapi, sebagai manusia kerdil seringkali ana tersungkur, terhenyak di celahan waktu dan amanah yang gagal disempurnakan. Untuk itu, ana sering berharap warkah ini menjadi suara hati ana, yang inginkan kata-kata semangat. Biar hanya secangkir pesanan, selagi ianya boleh diteguk ana sedia menerima.

Teman seperjuangan sekalian. Kepada sahabat yang berpisah kerana cita-cita, meski haluan kita berbeza, ketahuilah matlamat kita tetap sama. Hubungan kita bukan hanya dibatasi jarak, bahkan adakalanya fiqrah juga menjadi sempadan. Entum yang berada di bumi kinanah, sering diulit dengan suasana Islami, ketahuilah, kita penggalas wasilah baginda Rasulullah. Kehadiran entum di tanah air sendiri lebih diperlukan sementelah entum berpeluang mendalami ilmu agama di celah timbunan dan robohan sejarah kegemilangan Islam. Ana di sini, hanya mampu berharap. Agar iman dan sisa-sisa ilmu yang tinggal mampu memacu diri ana menghadapi manusia yang berlainan fiqrah. Tidak ana sangkakan, keputusan memilih jalan ini turut mencampakkan ana ke lembah penuh liku. Pergaulan dan batas-batas berlainan jantina sering membuatkan ana keliru dengan tindakan ana sendiri. Apapun, selagi entum pantakkan kepercayaan dan keyakinan pada ana, insya’Allah jalan yang bakal ana harungi masih lagi terjaga. Mudah-mudahan.

Buat sahabat sefiqrah. Alhamdulillah, Allah masih lagi menyayangi diri ini. Biar diri berada di suasana berbeda, kehadiran entum sahabat seharakah umpama obor menyalakan hidup ana. Masih lagi segar diingatan. Tatkala ana terputus di tengah jalan, Allah masih inginkan ana bersama kalian. Berjuang melalui cara kesederhanaan. Slogan keramat yang memperkukuhkan lagi jalinan ukhuwah kita, “hidup Biar Berjasa” sering menghambat diri ana. Betapa Allah tahu apa yang dirancang-Nya. DIA mengikat ana agar terus berjuangbersama entum dengan taklifan. Tetapi bisikan hati kecil sering mengatakan tidak layak. Memegang saff pimpinan dengan tanggungjawab dakwah dan pembangunan insan, apa cukupkah lagi ilmu ana? Lengkapkah diri ini dengan syarat-syarat menjadi Da’ie dan Khalifah? Hanya doa dari entum sahabat seharakah, mengingatkan ana pada wasiat baginda. “Perumpamaan muslim kepada muslim lain, umpama satu jasad. Sekiranya ada satu anggota yang sakit, yang lain akan turut berjaga dan demam”. Tanzhim haraki, tamrin, waqi’ , furu’ dan sebagainya mendedahkan ana terhadap suasana Islami. Tempoh pimpinan telah bertukar tangan. Transisi kepimpinan juga mendidik ana agar sentiasa sedar perjuangan perlu diteruskan. Pengiktirafan manusia tidak menjamin kedudukan. Hanya taqwa yang mendapat tempat di pandangan Tuhan.

Sahabat-sahabat seperjuangan. Meski hidup kita bergelumang dengan lukisan, aturan masa yang tidak menentu, kebebasan pergaulan, tidak sedikit pun membataskan hubungan. Telah ana pasakkan dalam diri, tidak menjadikan perbezaan fiqrah sebagai halangan untuk berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman bahkan sisipan wasiat Tuhan. Selagi kita bernama manusia, fitrah telah mendidik kita untuk mencintai kebaikan. Cuma cara penyampain dan pengamalan mungkin berbeza. Namun, selagi ianya mengikut syariat, janganlah entum meletakkan sempadan di antara kita.

Buat teman yang boleh dianggap akh dan ukht, terima kasih terhadap ilmu dan pengalaman entum. Tidak ada kata yang ana mampu rakamkan melainkan lafaz uhibbukum fillah. Semoga layangan warkah ini, tidak hanya mewakili diri ana. Bahkan cetusan dan luahan hati ini memohon agar selama perkenalan bersama entum mendapat mahabbah dan inayah dari Allah. Bukan sengaja ana mencipta permainan hati di sini, tetapi ana rasakan perlunya mendidik hati agar sentiasa berhemah, berlemah lembut dan mencintai sahabat sebagaimana yang sering dilakukan baginda Rasulullah. Akhir kalam, seandainya peninggalan ana ke dunia fana, mohon dihalalkan ilmu yang dicurahkan. Sampaikan pesanan-pesanan dan wasiat ana yang bergantungan sebagai harapan agar ana memperolehi redha Tuhan melalui ilmu bermanfaat. Amiiiin

Faqir Fillah
hamba Allah Yang Maha Penghiba
‘uttaeqle’

No Response to "bingkisan warkah"