rss
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon More
twitter

semarakkan cinta

Posted on 12:10 AM by halim qittun

Semarakkan Cinta

Oleh Amiza Khusyri Yusof

Semua pelajar berdiri. Susuk tubuh setinggi lima kaki itu melangkah masuk dan berdiri di hadapan kelas. Salam diajukan dan ada jawapan berselang-seli dengan bunyi nafas turun naik. Kami duduk dan melihat susuk tubuh guru kelas kami di hadapan. Susuk yang sudah kami lihat sejak bertahun lalu. Renik-renik peluh membutir di dahi dan membasahkan kupiahnya. Kaca matanya sudah melorot ke hujung hidung. Ketiaknya lencun. Mujur dia pakai baju dalam dan memang Ustaz Habib selalu pakai baju dalam. Tali leher Ustaz Habib selalu padan dengan warna bajunya dan biasanya akan tergantung betul-betul di atas pusat. Memang perut Ustaz Habib memboyot dan apabila berjalan dia lekas termengah-mengah.

Ada juga di kalangan rakan-rakan yang jahat mulutnya. Macam-macam gelaran yang diberikan kepada Ustaz Habib - boyot, gemuk, lemak - dan macam-macam lagi tetapi Ustaz Habib tidak pernah ambil pusing. Dia seorang guru yang baik. Tidak pernah perkataan yang bukan-bukan keluar daripada mulutnya. Tidak seperti guru-guru lain yang kadang-kadang keluar juga perkataan bodoh, kurang ajar, dungu dan macam-macam lagi yang membuatkan hati kami bukan sekadar luka, tapi dilelas membengkak.

Ustaz Habib memulakan pengajarannya dengan nama Allah dan puji-pujian kepada Rasulullah. Kadang dia sendiri yang mengetuai bacaan doa dan kadang ketua kelas atau sesiapa yang dipilihnya. Yang lain akan tunduk mengaminkan. Sebelum memulakan pengajaran, Ustaz Habib akan meminta kami mengikhlaskan hati belajar kerana Allah. Memang semasa Ustaz Habib mengajar kami tidak pernah main-main. Suara Ustaz Habib lantang dan dia pandai menarik perhatian kami agar sentiasa fokus. Apabila ada sahaja di kalangan kami yang diterpa kantuk, dia akan meninggikan nada suaranya dan lekas-lekas menukar kaedah pengajaran dengan bercerita atau mengulas tentang isu-isu terkini. Kadang-kadang dia memaparkan gambar dan video-video pendek menarik sebagai selingan melalui projektor LCDnya. Hampir setiap hari masuk ke kelas, pasti ada sahaja Bahan Bantu Mengajar yang dikeleknya bersama. Ustaz Habib memang seorang guru yang kreatif dan rajin, dia bukan sahaja mahir berbahasa, malah mahir dalam bertukang, reka-bentuk grafik, ICT dan pelbagai lagi. Inilah yang menjadikan strategi pengajarannya berkesan dan tercalon sebagai Guru Cemerlang selama dua tahun berturut-turut.

Erti Cinta

Ustaz Habib tidak akan lupa meminta kami supaya sungguh-sungguh menghormati guru. Guru-guru adalah orang yang berilmu dan orang yang berilmu pengetahuan itu Allah tinggikan darjatnya. Dia membacakan ayat 11 dari Surah al-Mujadalah. "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat."

Ustaz Habib juga menyuruh kami menuntut ilmu bersungguh-sungguh. Orang yang berilmu sentiasa bimbang dan takut melanggar perintah Allah.

"Rapatilah guru-guru dan gaulilah alim ulama, maka Allah akan menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit." Ustaz Habib memetik pesanan Luqmanul Hakim kepada anak-anaknya.

Tiba-tiba selepas itu kami lihat Ustaz Habib menggenggam penumbuk lantas bersuara lantang, "Ayuh! Kita tuntut ilmu hingga liang lahad!" Kami tersenyum dan semangat merewak ke serata diri.

Ustaz Habib memang seorang motivator yang hebat. Pernah dua orang rakan kami – Rosli dan Hafiz - bertikam lidah dan bermasam muka lebih dari tiga hari dan perkara itu sampai ke pengetahuannya. Dia memanggil Rosli dan Hafiz dan membacakan sabda Rasulullah riwayat Ahmad, "Apabila Allah mencintai suatu keluarga, maka Allah memberikan sifat kasih sayang kepada seluruh anggota keluarga itu."

"Kita sekeluarga. Kamu berdua anak-anak ustaz. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Bermaafanlah." Mata Ustaz Habib bersinar cahaya cinta.
Kedua rakan kami itu teragak-agak ingin bersalaman, lantas Ustaz Habib menghampiri dan mengusap lembut belakang mereka sambil membacakan firman Allah dari Surah al-Baqarah ayat 237, "Bermaaf-maafan itu lebih hampir kepada takwa."

"Rosli dan Hafiz ingin menjadi anak yang soleh dan bertakwa, kan?" Ustaz Habib tersenyum mesra dan dua rakan kami tadi terus bersalaman ikhlas dalam senyuman ria berpanjangan.

Akrab

Suatu ketika, rakan kami Amir dilanda penyakit takbur dan pongah. Kami akui, dia seorang yang pandai berpidato dan guru-guru senang hati dengannya. Tetapi apabila bersama kawan-kawan, dia suka meninggi diri dan memperlekeh orang lain. Yang paling menghangatkan hati kami, dia pernah menjerit di dalam kelas mengatakan kami semua bodoh dan ketinggalan, hanya kerana kami menegurnya agar mengawal kata dan jangan ikutkan rasa hati. Suasana cinta dan kasih sayang tidak lagi menyelubungi kelas kami. Rasa amarah dan hasad memuncak.

Kami mengadukan petaka yang menimpa ini kepada Ustaz Habib. Dan pada suatu malam yang dingin, setelah hujan yang bertemali sejak pagi berhenti, Ustaz Habib datang berjubah putih bersih ke asrama, memanggil Amir berjalan bersamanya menuju ke tengah padang sekolah yang dilatari bunyi cengkerik.

Ustaz Habib memaut tangan Amir seraya mata memercu dada langit yang cerah. Bintang-bintang mengerdip dan bulan bercahaya penuh.

"Anakku, sungguh hebat ciptaan Tuhan pada langit itu, kan?" Ustaz Habib tersenyum manis. Amir hanya kerut kening memandang Ustaz Habib.

Angguk.

"Betapa kerdilnya kita di sisi Tuhan. Amir nampak bintang-bintang yang banyak dan tidak terkira itu? Nampak bulan yang terang benderang?" Amir mengalih pandang ke hampar langit.

Angguk.

"Ustaz seperti bulan itu Amir. Kamu dan rakan-rakan kamu seperti bintang-bintang itu. Kita saling indah mengindahkan, perlu memerlukan. Keluarga kita tidak akan cukup, jika kehilangan walau sebutir bintang." Suara Ustaz Habib lembut mengiringi bayu yang bertiup.

Amir lekas faham dan pandangannya jatuh ke arah rumput yang kelam.

"Ustaz sayangkan kamu semua seperti anak-anak ustaz. Jangan ada di antara kamu yang hilang rasa hormat menghormati dan merendah dirilah sesama kamu."

Amir sebak. Dia menyedari kekhilafannya.

Ustaz Habib membacakan hadis riwayat Muslim, "Tidak dapat masuk syurga seseorang yang dalam hatinya walau sebesar zarah dari sifat takbur."

"Hanya Allah yang layak bersifat Mutakabbir kerana hanya Dia yang Maha Hebat dan tiada selain-Nya. Jangan kita saling hina-menghina, keji mengeji anakku, kerana itu adalah sifat manusia yang jahat." Suaranya tegas tapi tetap menyulam kasih.

"Sa.. sa.. saya minta maaf, ustaz." Suara Amir tersekat-sekat. Apabila Ustaz Habib melihatnya, ada air mata yang tumpah dalam esak.

Ustaz Habib memeluk Amir erat-erat.

Ustaz Habib juga ialah guru kesayangan Amir. Justeru tindakan kami untuk mengadu perkara itu kepada Ustaz Habib adalah tindakan yang amat wajar. Dan tentunya tindakan sendiri tidak akan membawa manfaat, kecelakaan malah!

Cinta kerana Allah

Suatu pagi, kami sengaja membuka topik perkahwinan kepada Ustaz Habib yang akan genap dua puluh lapan tahun. Dalam diam, sebenarnya kami teringin melihat Ustaz Habib memperisterikan Cikgu Izzati, cikgu matematik yang muda dan comel.

"Ustaz, Islam menggalakkan umatnya berkahwin, kan?" Muin, rakan kami yang gempal berpipi montel bertanya dalam senyum-senyum.

Tiada respons.

Amir, rakan kami yang pandai berpidato itu membacakan hadis riwayat Bukhari dan Muslim dengan kuat, "Barangsiapa di antara kamu berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah, sebab perkahwinan itu dapat menyekat pandangan mata dan menjaga kemaluan."

Ustaz Habib tersenyum lantas berkata, "Hadis yang kamu baca tu tak habis. Cuba habiskan yang hujungnya, Amir."

"Tetapi barangsiapa yang tidak berkuasa, maka hendaklah dia berpuasa, sebab puasa itu melemahkan keinginan." Amir menyambung, tapi kali ini suaranya perlahan dan mendatar.

"Cikgu Izzati tu cantik ustaz, masih bujang." Hafiz terlontar ayat itu seraya menekup mulut. Buat-buat bersalah.

Ustaz Habib menggeleng. "Ustaz belum bersedia, dan tiada siapa yang mahu ustaz gemuk kamu ni." Ustaz Habib kelihatan malas meladeni kami dan bersedia ingin memulakan pengajarannya.

Ketika itu mahu sahaja kami menjawab, rupa paras itu tidak penting, dan kami menyayangi ustaz juga bukan kerana tubuh badan, tapi kerana hati ustaz yang mulia, ikhlas dan penuh cinta. Tapi, rasa itu kami semat dalam hati, nun terpahat kemas dalam sanubari.

Demi Cinta

Suatu pagi, hujan turun dengan lebatnya. Angin tidak lagi semilir, tetapi mengganas dan menerkam apa sahaja yang ada di depannya. Koridor, meja-meja yang letaknya berdekatan jendela basah terkena tempias yang kasar.

Kami di dalam kelas berasa tidak sedap hati. Ustaz Habib meminta kami ramai-ramai membaca doa dan berzikir.

Saat itulah datang Cikgu Izzati memanggil Ustaz Habib di muka pintu entah atas urusan apa, dan ketika Ustaz Habib bangun dan berjalan ke muka pintu, dia terjatuh di atas permukaan lantai simen yang licin.

Bunyi kuat kedengaran.

"Ustaz!" Cikgu Izzati menjerit. Kami terpempan. Jantung kami berdegup pantas. Kami bangun beramai-ramai dan menerpa ke arah Ustaz Habib yang terlentang tak sedarkan diri.

Kami berkerumun. Cikgu Izzati lantas bergegas ke pejabat. Lantai yang licin tidak dihiraukannya.

Ustaz Habib dibawa ambulan ke wad kecemasan. Dan kami beramai-ramai ke hospital hari itu dengan menaiki bas sekolah. Suasana di ruang menunggu kusam dan sunyi. Tiada siapa yang berani mengeluarkan kata-kata. Cikgu Izzati kelihatan mengalirkan air mata. Dia duduk bersama tiga orang guru lain, juga pengetua, kelihatan sedih dan berdebar menanti kemunculan doktor. Keluarga Ustaz Habib sudah dimaklumkan. Berdebarnya hati kami tidak dapat digambarkan. Dia guru yang kami sayangi. Terlalu!

Doktor keluar tiba-tiba dari bilik kecemasan. Pengetua bingkas bersama guru lain. Kami menyerbu dan berkerumun. Doktor memandang kami seorang demi seorang.

"Bagaimana dengan ayah kami doktor?" Rosli bersuara cemas. Doktor terkejut. Pengetua terbeliak mata. Guru lain kaku. Cikgu Izzati sudah teresak-esak.

"Ustaz seperti ayah kami." Pintas Amir dengan nada tegas.

"Ustaz kamu mengalami throm-bosis yang menyebabkan berlakunya cerebral embolism. Arterinya tersumbat dan otaknya tidak mendapat bekalan darah dan oksigen yang secukupnya."

"Maksud doktor, Ustaz Habib terkena stroke atau angin ahmar?" Pengetua bertanya dengan kening berkerut. Detak jantung kami mulai kencang.

Doktor mengangguk. "Pesakit juga dikesan menghidapi tekanan darah tinggi dan diabetes."

Kami semua terbeliak mata. Hampir tidak percaya.

Doktor memandang ke arah kami seorang demi seorang kemudian tertunduk. Kami jadi semakin cemas dan degup jantung semakin laju.

"Kami telah cuba sedaya upaya. Allah lebih menyayanginya." Ayat doktor terhenti di situ.

Amir dan Rosli terhenyak di atas kerusi menunggu. Dua tiga orang lagi menekup muka. Kami terasa seperti hendak pengsan. Bagai tidak percaya, kami sudah kehilangan insan yang kami kasihi. Kenangan-kenangan lalu bagai berputar-putar di ruang fikir dan mencetuskan rasa sebak yang sukar dibendung, dan seorang demi seorang mengalirkan air mata.

Angkatan Mahabbah

Itulah kali terakhir kami bersama Ustaz Habib. Peristiwa yang apabila kami kenang kembali akan menyuntik inspirasi untuk meneruskan perjuangan yang tiada intiha.

Kini, kami sudah jauh membawa halatuju masing-masing dan majoriti daripada kami memilih untuk menjadi pendidik. Ada inspirasi sentiasa subur dalam hati kami, yang disemai oleh seorang guru berwibawa, yang lembut bicara, berhati mulia, berhikmah dan bijaksana. Dia mengajar kami tentang nilai kasih sayang sesama bertunjangkan cinta Tuhan. Insan ini mengingatkan kami kepada hadis riwayat Tabrani yang menyatakan bahawa orang yang paling hampir dengan Rasul tercinta ialah orang yang terbaik akhlaknya, yang lemah lembut dalam pergaulan.

Kata Ustaz Habib selalu, bawalah cinta ke mana-mana, kamu pasti akan berjaya. Kamu perlu menjadi angkatan mahabbah yang menebarkan cinta di mana-mana seperti firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 103, "Maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara."

Ustaz Habib menokok lagi, "Dan orang yang bersaudara itu sentiasa berkasih sayang."

Kami bawa cinta ke mana-mana. Kami angkatan mahabbah sedang menebarkan cinta di mana-mana. Sentiasa segar kata-kata Ustaz Habib. Kata-kata yang menjadi azimat hidup kami sampai bila-bila.

"Ayuh, kita semarakkan cinta!"

©Berita Minggu, 1 Jun 2008

No Response to "semarakkan cinta"