rss
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon More
twitter

tentera Allah

Posted on 12:36 AM by halim qittun


1hb november2007

10.00pagi

Batang Berjuntai, selangor

Udara pagi bertiup nyaman, mengalunkan rentak zikirnya. Kicauan burung dan unggas saling bersahutan bagai bertasbih kepada Yang Maha Mencipta. Langit yang cerah menutupi sinaran mentari tersipu malu. Semuanya tunduk patuh pada perintah Allah tanpa bantahan. Inilah definisi Islam yang sebenar. Alam juga Islam sebagaimana yang dinukilkan Abul a'la almaududi dalam kitabnya Asas-asas Islam. Sesekali tanganku menyeka mutiara peluh di dahi. Aku bingkas duduk melepaskan lelah seketika. Ku lihat susuk tubuh abah yang masih bertenaga meski usia menjangkau 60 an. Mesin rumput ligat memainkan matanya, menebas pantas dedaunan dan lalang yang hidup meliar. Tugasku pula mencakar rumput-rumput yang telah ditebas. Melihatkan permukaan tanah yang lapang setelah dibersihkan, hatiku bermonolog sendiri. 'Alangkah indahnya kalau hati ni mudah dibersihkan semudah aku mencakar rumput ni,' Seraya itu, bibirku mengukir senyuman.

"Usu..., apa la. Cakar rumput masih boleh tersenyum. Mari sini tolong abah". Suara abah kedengaran memanggilku. Mengelamunkah aku? Seingatku, hanya bermonolog. Apapun, yang lebih penting sudah tentulah menyahut panggilan abah tika ini.
Aku diminta membersihkan kawasan berlukar. Sesekali, aku membetulkan sarung tangan yang sudah kusam warnanya. Namun, jasanya pada manusia tidak pernah terhenti. Biar benang sudah tetas dan koyak tetapi atas prinsip abahku yang suka berjimat, sarung tangan ini masih lagi berjasa.

"Perlu dibakar rumput ni, abah" cadangku cuma. Namun, abah meminta aku sudahkan pembersihan di kawasan belukar.
"Hati-hati" tambah abah, pendek sahaja. Aku menggaru kepala. Jawapan abah sebentar tadi seolah-olah mentamsilkan bahawa aku bakal berdepan dengan bahaya. Bahaya apakah yang menantiku di sebalik belukar? Prak! Derap langkahku terhenti. Mataku terpana pada sekumpulan tebuan yang menghurung belukar. Jumlahnya, masya' Allah tidak terhitung banyaknya. Kehadiranku seolah-olah tidak disedari. Namun atas langkah berjaga-jaga, aku memperlahankan langkahan.

Aku bertekad untuk tidak mengganggu tebuan tersebut. Sekiranya aku berpegang pada kata pepatah, 'sarang tebuan jangan dijolok', sudah tentu aku tidak menghampiri makhluk Allah ini. Tetapi keberanian datang menerpa tatkala hati kecilku berbicara, agar segalanya diserahkan pada Allah. Demi kekuasaan-Mu Ya Allah, aku mohon perlindungan dari ancaman makhluk-Mu ini. Serta merta diriku dipupuk keinsafan. Melihat 'tentera Allah' di hadapan mata, kotak minda berputar menyorot lipatan sejarah. Keangkuhan firauan pada zaman nabi musa ditumpaskan dengan tentera Allah yang tidak dikurniakan akal lansung.

Lantaran itu Allah berfirman, "Kami pun menghantarkan kepada mereka, taufan, belalang dan kutu, katak dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata. Maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka" Surah al-A'raf:133

Sekiranya atas kehendak-Nya, tebuan di hadapanku ini menjadi tentera Allah, nescaya kuat bagaimana sekalipun manusia dengan senjata berteknologi tinggi akan ditewaskan dan dimusnahkan sekelip mata. Bahkan, ilham yang hadir dalam mindaku ini juga hasil percaturan dari-Nya. Apatah bisaku anyam ketakutan dalam diri terhadap makhluk Allah? Sudah tentu ALlah jua tempat berserah. Aku tersenyum sendirian seraya menyudahkan kerjaku tanpa sedikit pun peduli akan kehadiran 'tentera Allah' ini. Syukur Ya Allah. Kau campakkan keberanian dan kekuatan dalam atma ini, lantaran diri terasa begitu kerdil apatah lagi terhadap makhluk-Mu jua.

No Response to "tentera Allah"