Untuk ulasan buku yang seterusnya, buah tangan dari zaid akhtar menjadi pilihan. Salju sakinah sebuah novel yang mengangkat wanita sebagai watak utama, bernama Sumayyah. Awal penceritaannya, latar tempat di bumi kinanah Jordan menjadi saksi perjalanan hidup si gadis mahasiswi jurusan Bahasa Arab. Penuntut di Universiti Yarmouk, Irbid Jordan secara klisenya turut menceritakan tentang kegiatan, pergerakan dan kehidupan sebagai pelajar Universiti. Aktif dalam persatuan, dan berkemahiran dalam pengucapan awam, menjadikan Sumayyah seorang pelajar muslimah yang berketrampilan.
Tidak seperti kebanyakan novel tipikal lain, Zaid Akhtar tidak menjadikan keseluruhan latar tempat di Jordan atau di Timur Tengah. Pembaca dapat melihat perjuangan bagi gadis bernama Sumayyah ini saat dia menamatkan pengajiannya dan bermula di tanah air sendiri. Terdapat aspek motivasinya di sini, apabila perjuangan Sumayyah bermula saat keberadaannya dia di kampung halaman. Ditimpa ujian yang maha berat, ketibaannya disambut dengan berita kematian ayahnya, cabaran dia terus bermula apabila menghadapi situasi fitnah masyarakat kampung, kecelaruan aqidah oleh ahli keluarga sendiri (bertepatan dengan fenomena ajaran sesat kini) dan akhirnya diuji dengan natijah imtihan yang ambiguiti statusnya. Atau kabur (sebenarnya gagal) yang memaksa dia kembali menyambung pengajian. Ujian yang sangat dahsyat ini memperlihatkan ketabahan Sumayyah menghadapi liku-liku hidup sebagai graduan timur tengah yang diuji dengan mehnah dan tribulasi.
Sebuah novel yang sangat santai dan bernuansa islami ini tutur menekankan tentang keperluan graduan berbakti pada masyarakat. Sebagai contoh, kesanggupan Sumayyah menyampaikan ceramah agama di kampungnya, pada masa yang sama mengurus perniagaan keluarganya memperlihatkan dirinya seorang yang oportunis, tidak suka bergantung dan menunggu sahaja tawaran pekerjaan datang bergolek. Meski pada mulanya dia menolak untuk memegang tanggungjawab, memandangkan Sumayyah yang mengambil jurusan Bahasa Arab tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam menguruskan perniagaan, tetapi penegasan dari kakaknya yang menekankan agamawan juga perlu menjadi usahawan memaksa dia menerima taklif sebagai pengurus perniagaan. Antara plot menarik adalah sewaktu hubungan ahli keluarganya menjadi rapuh. Diperlihatkan tentang perasaan dan sensitiviti seorang ibu, juga perasaan seorang anak yang membawa Sumayyah menghadapi hakikat tanggungjawabnya bukan sekadar pengurusan perniagaan, tetapi dia lebih bertanggungjawab menjernihkan hubungan ahli keluarganya lebih-lebih lagi dia penuntut aliran agama. Dirinya adalah rujukan dan kekuatan dalam keluarga.
Novel Salju Sakinah ini sangat bagus dibaca kerana suasananya sangat dekat dengan diri kita. Walaupun begitu, karya ini bukanlah yang paling terbaik dari Zaid Akhtar bagi pandangan menulis (kerana penulis masih tertarik dengan Rona Bosphorus), tetapi Zaid Akhtar menyentuh banyak aspek dan nilai kekeluargaan, kemasyarakatan, pendidikan dan pengorbanan menjadikan novel ini antara yang terlaris di pasaran.
No Response to "salju sakinah"
Post a Comment