rss
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon More
twitter

advencer si peniup ney

Posted on 12:27 AM by halim qittun



Kali ini ulasan buku yang menjadi pilihan penulis mengisi ruang maya ini. Seperti sebelum ini, janji untuk mewujudkan ruangan ini, akhirnya dengan izin Allah, buah tangan FT menjadi pilihan. Buku ini tidak pernah bosan dibaca berkali-kali kerana isinya sangat bagus sebagai persediaan menghadapi mehnah dan tribulasi. Menyingkap tirai kehidupan yang berlaku pada masa kini, Faisal Tehrani sangat berani menjadi kritikus yang berpegang pada paksi kebenaran. Karyanya yang tidak asing lagi dalam kalangan penggemar novel tempatan, advencer si peniup ney benar-benar memberi teguran kepada pemuja-pemuja hedonisme secara sinis.

Novel ini yang mengangkat Sulaiman sebagai watak utama juga seorang peniup ney muda dalam usia 18 tahun telah mengalami satu advancer bersama 40 ekor jin. Usaha dakwah yang dilakukan bagi memerangi gejala hedonisme serasa sangat akrab dengan situasi yang berlaku di Malaysia sendiri. Novel ini tampil membawa perubahan dan kesedaran betapa ambisi masyarakat yang kini mencintai hiburan melalaikan, hiburan tanpa tujuan melebihi dari matlamat yang lain..

Bahasa dan susunan ayat yang digunakan benar-benar sampai meski sesetengah golongan merasa berat dengan pengolahan bahasa oleh Faisal Tehrani. Negeri Fantasia yang dihuni jin-jin merah, masyarakat jin yang gemarkan muzik-muzik melalaikan, semuanya ada perkaitannya dengan industri hiburan Negara kita. Bagi yang mempunyai hati, membaca karya ini membuatkan kita sedar bahawa sangat dahsyat pengaruh hedonisme. Tamsilan dibuat melalui perwatakan jin-jin hakikatnya adalah gambaran masyarakat kita.

Ada dua perspektif yang kita boleh lihat melalui novel advencer si peniup ney ini. Pertama pandangan kita sebagai masyarakat yang melihat kebobrokan masalah sosial menerusi wahana hiburan. Kedua, persepektif kita sebagai daie dan pendakwah. Contoh ini dapat dilihat bagaimana sulaiman dan jin-jin dalam novel ini menggunakan ‘bahasa’ masyarakat tersebut sebagai pendekatan. Ada beberapa hujah dan dalil-dalil yang jelas dalam fatwa dan hukum muzik itu sendiri juga dimuatkan dalam novel ini. Nuansa-nuansa islami sangat jelas melalui contoh-contoh mudah yang banyak perkaitannya dengan realiti masyarakat kita. pemilihan watak sulaiman dalam novel ini seakan membawa pengaruh dan kekuatan nabi sulaiman a.s dalam menundukkan jin-jin dan kerajaan.

Kesimpulannya, kepada sesiapa yang belum memiliki novel Advencer Si Peniup Ney, silalah mendapatkannya. Sesiapa yang pernah memiliki atau membaca, layarkan perkongsian anda bersama teman-teman agar bacaan muda-mudi dan generasi kini bukan setakat majalah ringan, santai atau pun novel bernuansa cinta sahaja, tetapi novel yang sangat jelas mesejnya, juga sesuai sebagai sumber rujukan lebih-lebih lagi bagi yang masih keliru status hiburan dalam Islam.

No Response to "advencer si peniup ney"