rss
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon More
twitter

aduh dunia

andai Nabi sendiri pernah bermadah,

dunia sudah seusia wanita tua,

sempatkah kita jalan di muka bumi-Nya

dengan mendabik dada?

kita memikirkan dunia, kesudahannya..

tetapi kita alpa dengan nasib dan kesudahan kita..

kita menyalahkan pihak ini pihak itu,

sekiranya jenayah berlaku..

tetapi kita lupa diri kita yang menyumbang

dengan tunduk berdiam kaku.

Nabi bermadah lagi,

Islam itu datang dalam keadaan asing,

dan kembali dalam keadaan asing,

sedang kita masih sakit kepala mengadu pening,

dunia dikatakan sudah maju,

melangkau abad ke 21,

tapi kita jauh terinjak kembali ke zaman batu..

apakah masih ada satu saat?

benarlah tanda kiamat sudah mendekat,

sedang diri tersungkur di kaki nafsu,

atma masih tunduk membisu,

biar kebenaran menumpang lalu..

Aduh dunia, sakitnya, tidak terasa,

apakan tidak manusia masih mampu gembira,

Quran menukil banyakkan menangis,

kurangkan ketawa..

adakah kita masih punya telinga.??

aduh dunia....

sama beringat sebelum kena

faqir fillah

halim elqeattu


Tuhan Manusia




andai kota adalah peradaban

rumah kami adalah budaya
dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama

Ulasan buku kali ini mengupas satu judul buku rentak pena Faisal Tehrani. Tuhan Manusia sememangnya buku yang sarat dengan mesej. Pengolahan bahasa yang tinggi menyantuni aspek agama dan budaya, sememangnya Tuhan Manusia sesuai untuk pembaca yang gemar berfikir, menganalisis, bermuhasabah, dan mensimulasi. Tidak seperti kebanyakan novel lain, Tuhan Manusia tidak menekankan daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi kerana matlamat Tuhan Manusia adalah menyentuh aspek pluralisme yang semakin meruncing. Mesej yang ingin disampaikan lebih jelas sehingga memperlihatkan buku ini seperti bahan bacaan ilmiah yang berat.

Membawa pembaca menyelami perasaan si adik yang berdepan dengan fenomena murtad dan keadaan sekeliling yang menjunjung pluralisme, Ali Taqi menjadi betah dan memperjuang nasib umat Islam. Untuk sesiapa yang tidak tahu apa itu pluralisme, ianya adalah satu fahaman yang menerima semua agama adalah sama tarafnya.

Memetik dialog Ustaz Mujtaba dalam novel ini:

"pluralisme sama sekali tidak, tetapi kita boleh sahaja bertoleransi dengan penganut agama lain. Malah tolak ansur itu, tunjang keistimewaan Islam. Kita hendaklah faham akal yang sihat menolak sama sekali pluralisme. Bagaimana kita nak menerima yang Islam itu memperakukan keEsaan Allah dan dalam masa yang sama memperakukan pula agama Kristian yang menerima teologi triniti iaitu adanya Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Dua perkara bertentangan tidak boleh diterima."

Siapa yang dapat mendepani hakikat apabila orang yang akrab dengan kita menjadi mangsa gejala murtad? Keadaan yang menggasak Ali Taqi menyebabkan dia bangkit menentang gejala pluralisme tersebut. (pluralisme salah satu punca gejala murtad).

Mengambil latar tempat di sekolah, FT juga menekankan fahaman pluralisme turut berlaku di situ. Perjuangan Zehra dan bapanya yang bersungguh-sungguh menyebar ideologi pluralisme boleh kita tamsilkan usaha-usaha golongan liberal yang wujud di negara kita. Mirip sekali dengan perwatakan bapa Zehra, Encik Aris Iskandar yang digambarkan petah berbicara telah mempengaruhi masyarakat agar ideologi pluralismenya diterima. Dan sememang realitinya begitu. Orang-orang yang berpengaruh menjunjung pluralisme secara sedar atau tidak berjaya menyebarkan fahaman tersebut terutama sekali kepada golongan marhain.

Keberanian Ali Taqi menganjurkan forum tentang pluralisme adalah idea FT yang boleh kita fahami bahawa masih ada jalan atau cara atau tindakan yang boleh dilakukan bagi menangani masalah pluralisme ini. Aspek kekeluargaan dan prinsip jelas di sini tertama sekali apabila bait-bait kata emak Ali Taqi terakam di setiap bab. Selain menjadi pegangan Ali Taqi, FT secara signifikan ingin memahamkan pembaca bahawa Agama tidak sesekali mengenepikan soal budaya bahkan menyantuni dan bertoleransi dengan agama dan budaya lain.

Mengulas novel Tuhan Manusia ini seolah-olah membuka satu laman baru tentang perbincangan pluralisme. Ada baiknya kalau pembaca sendiri memilikinya. Teringat kata-kata sahabat ketika saya memiliki buku ini. Katanya, baca Tuhan Manusia boleh rosak aqidah. Terkesima seketika. Tetapi dapat disimpulkan fahaman pluralisme benar-benar telah menular sehingga kita tidak sedar orang yang rapat dengan kita juga menjadi mangsa. Dalam membicara haq dan batil, khata' dan sawwab, seharusnya kita bersedia mendepani apa jua cabaran terutamanya cabaran diri sendiri.

qittun: rugi tak baca..



tentera Allah


1hb november2007

10.00pagi

Batang Berjuntai, selangor

Udara pagi bertiup nyaman, mengalunkan rentak zikirnya. Kicauan burung dan unggas saling bersahutan bagai bertasbih kepada Yang Maha Mencipta. Langit yang cerah menutupi sinaran mentari tersipu malu. Semuanya tunduk patuh pada perintah Allah tanpa bantahan. Inilah definisi Islam yang sebenar. Alam juga Islam sebagaimana yang dinukilkan Abul a'la almaududi dalam kitabnya Asas-asas Islam. Sesekali tanganku menyeka mutiara peluh di dahi. Aku bingkas duduk melepaskan lelah seketika. Ku lihat susuk tubuh abah yang masih bertenaga meski usia menjangkau 60 an. Mesin rumput ligat memainkan matanya, menebas pantas dedaunan dan lalang yang hidup meliar. Tugasku pula mencakar rumput-rumput yang telah ditebas. Melihatkan permukaan tanah yang lapang setelah dibersihkan, hatiku bermonolog sendiri. 'Alangkah indahnya kalau hati ni mudah dibersihkan semudah aku mencakar rumput ni,' Seraya itu, bibirku mengukir senyuman.

"Usu..., apa la. Cakar rumput masih boleh tersenyum. Mari sini tolong abah". Suara abah kedengaran memanggilku. Mengelamunkah aku? Seingatku, hanya bermonolog. Apapun, yang lebih penting sudah tentulah menyahut panggilan abah tika ini.
Aku diminta membersihkan kawasan berlukar. Sesekali, aku membetulkan sarung tangan yang sudah kusam warnanya. Namun, jasanya pada manusia tidak pernah terhenti. Biar benang sudah tetas dan koyak tetapi atas prinsip abahku yang suka berjimat, sarung tangan ini masih lagi berjasa.

"Perlu dibakar rumput ni, abah" cadangku cuma. Namun, abah meminta aku sudahkan pembersihan di kawasan belukar.
"Hati-hati" tambah abah, pendek sahaja. Aku menggaru kepala. Jawapan abah sebentar tadi seolah-olah mentamsilkan bahawa aku bakal berdepan dengan bahaya. Bahaya apakah yang menantiku di sebalik belukar? Prak! Derap langkahku terhenti. Mataku terpana pada sekumpulan tebuan yang menghurung belukar. Jumlahnya, masya' Allah tidak terhitung banyaknya. Kehadiranku seolah-olah tidak disedari. Namun atas langkah berjaga-jaga, aku memperlahankan langkahan.

Aku bertekad untuk tidak mengganggu tebuan tersebut. Sekiranya aku berpegang pada kata pepatah, 'sarang tebuan jangan dijolok', sudah tentu aku tidak menghampiri makhluk Allah ini. Tetapi keberanian datang menerpa tatkala hati kecilku berbicara, agar segalanya diserahkan pada Allah. Demi kekuasaan-Mu Ya Allah, aku mohon perlindungan dari ancaman makhluk-Mu ini. Serta merta diriku dipupuk keinsafan. Melihat 'tentera Allah' di hadapan mata, kotak minda berputar menyorot lipatan sejarah. Keangkuhan firauan pada zaman nabi musa ditumpaskan dengan tentera Allah yang tidak dikurniakan akal lansung.

Lantaran itu Allah berfirman, "Kami pun menghantarkan kepada mereka, taufan, belalang dan kutu, katak dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata. Maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka" Surah al-A'raf:133

Sekiranya atas kehendak-Nya, tebuan di hadapanku ini menjadi tentera Allah, nescaya kuat bagaimana sekalipun manusia dengan senjata berteknologi tinggi akan ditewaskan dan dimusnahkan sekelip mata. Bahkan, ilham yang hadir dalam mindaku ini juga hasil percaturan dari-Nya. Apatah bisaku anyam ketakutan dalam diri terhadap makhluk Allah? Sudah tentu ALlah jua tempat berserah. Aku tersenyum sendirian seraya menyudahkan kerjaku tanpa sedikit pun peduli akan kehadiran 'tentera Allah' ini. Syukur Ya Allah. Kau campakkan keberanian dan kekuatan dalam atma ini, lantaran diri terasa begitu kerdil apatah lagi terhadap makhluk-Mu jua.

salju sakinah




Untuk ulasan buku yang seterusnya, buah tangan dari zaid akhtar menjadi pilihan. Salju sakinah sebuah novel yang mengangkat wanita sebagai watak utama, bernama Sumayyah. Awal penceritaannya, latar tempat di bumi kinanah Jordan menjadi saksi perjalanan hidup si gadis mahasiswi jurusan Bahasa Arab. Penuntut di Universiti Yarmouk, Irbid Jordan secara klisenya turut menceritakan tentang kegiatan, pergerakan dan kehidupan sebagai pelajar Universiti. Aktif dalam persatuan, dan berkemahiran dalam pengucapan awam, menjadikan Sumayyah seorang pelajar muslimah yang berketrampilan.

Tidak seperti kebanyakan novel tipikal lain, Zaid Akhtar tidak menjadikan keseluruhan latar tempat di Jordan atau di Timur Tengah. Pembaca dapat melihat perjuangan bagi gadis bernama Sumayyah ini saat dia menamatkan pengajiannya dan bermula di tanah air sendiri. Terdapat aspek motivasinya di sini, apabila perjuangan Sumayyah bermula saat keberadaannya dia di kampung halaman. Ditimpa ujian yang maha berat, ketibaannya disambut dengan berita kematian ayahnya, cabaran dia terus bermula apabila menghadapi situasi fitnah masyarakat kampung, kecelaruan aqidah oleh ahli keluarga sendiri (bertepatan dengan fenomena ajaran sesat kini) dan akhirnya diuji dengan natijah imtihan yang ambiguiti statusnya. Atau kabur (sebenarnya gagal) yang memaksa dia kembali menyambung pengajian. Ujian yang sangat dahsyat ini memperlihatkan ketabahan Sumayyah menghadapi liku-liku hidup sebagai graduan timur tengah yang diuji dengan mehnah dan tribulasi.

Sebuah novel yang sangat santai dan bernuansa islami ini tutur menekankan tentang keperluan graduan berbakti pada masyarakat. Sebagai contoh, kesanggupan Sumayyah menyampaikan ceramah agama di kampungnya, pada masa yang sama mengurus perniagaan keluarganya memperlihatkan dirinya seorang yang oportunis, tidak suka bergantung dan menunggu sahaja tawaran pekerjaan datang bergolek. Meski pada mulanya dia menolak untuk memegang tanggungjawab, memandangkan Sumayyah yang mengambil jurusan Bahasa Arab tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam menguruskan perniagaan, tetapi penegasan dari kakaknya yang menekankan agamawan juga perlu menjadi usahawan memaksa dia menerima taklif sebagai pengurus perniagaan. Antara plot menarik adalah sewaktu hubungan ahli keluarganya menjadi rapuh. Diperlihatkan tentang perasaan dan sensitiviti seorang ibu, juga perasaan seorang anak yang membawa Sumayyah menghadapi hakikat tanggungjawabnya bukan sekadar pengurusan perniagaan, tetapi dia lebih bertanggungjawab menjernihkan hubungan ahli keluarganya lebih-lebih lagi dia penuntut aliran agama. Dirinya adalah rujukan dan kekuatan dalam keluarga.

Novel Salju Sakinah ini sangat bagus dibaca kerana suasananya sangat dekat dengan diri kita. Walaupun begitu, karya ini bukanlah yang paling terbaik dari Zaid Akhtar bagi pandangan menulis (kerana penulis masih tertarik dengan Rona Bosphorus), tetapi Zaid Akhtar menyentuh banyak aspek dan nilai kekeluargaan, kemasyarakatan, pendidikan dan pengorbanan menjadikan novel ini antara yang terlaris di pasaran.

pelita itu terpadam sumbunya..


Dingin pagi ini masih gagal mencengkam kantuk. Kebimbangan menghadapi peperiksaan saat fikiran melayang pada keadaan abah besar saling bertaut.Aku bangun lantas berwudhuk. Buku-buku dan nota ringkas diletakkan di tepi dinding. Kedinginan dari bilah kipas musolla zubair masih terasa. Sementara menanti detik waktu solat subuh, sekali lagi fikiranku melayang. Membawa kepada keadaan abah besar, pak cik ku yang sangat akrab. Jasadnya terbaring penuh lelah di Hospital Seremban. Masih kuingaat saat menerima berita dari abangku, kami sekeluarga bergegas ke hospital. Perjalanan hampir dua jam dari rumahku dirasakan pantas.

Perihal aku didatangi mimpi berkenaan abah besar hanya kupendamkan. Bimbang ianya bakal membibitkan lagi kebimbangan kepada insan-insan yang menyayanginya. kulihat mata abangku membengkak. Mungkin hampir separuh semangatnya hilang tatkala menerima berita tersebut. Sementara menunggu giliranku melihat abah, kotak mindaku berputar mengimbau peristiwa lalu. Pemergian nendaku saat aku menempuh peperiksaan mula menggamit. Merencana satu peta yang meruntuhkan lagi ketabahanku. Apakah sejarah bakal berulang? Nauzubillah..

Fikiranku melayang seketika apabila namaku dipanggil. Serta-merta sekujur tubuh nenda berselimut putih terbang menghilang. Aku melangkah ke dalam CCU, sambil ditemani abah kandungku. Melihat sekujur tubuh yang terlantar di katil, serta merta diri dipupuk sayu, kolam deritaku pecah berderai. Lebih-lebih lagi wajah itu turut mengundang perasaan sayang yang sukar dirungkai. Kuseka air mata abah besar dari pelupuk matanya. Mungkinkah ini kali terakhir? Astaghfirullah....

Allahu akbar..Allahu akbar..

Aku tersentak seketika. Masya'Allah, diriku terlalu dibuai perasaan sehingga lupa pada seruan Dia. Syukur Ya Allah, Kau mengembalikan diriku ke alam nyata. Selesai mengerjakan solat subuh, aku pulang ke bilik. Persiapan menghadapi peperiksaan perlu kuatur sebaiknya.Nota-nota ringkas kususun sebaiknya, dan mula memberi perhatian pada contoh kertas soalan. Tiba-tiba sahaja debaran jantungku bertambah laju. Apakah syarat ini Ya Allah? Adakah kerana aku terlalu gusar menghadapi ujian dunia? Atau kebimbangan ini terundang disebabkan beberapa peristiwa yang pernah mewarnai hidupku?
Kepada Kau Ya Allah kumemohon keampunan, agar bebanan ini dipermudahkan.

Benarlah, saat minda dan semangat disisipkan buat bekalan peperiksaan beberapa jam sahaja lagi, deringan telefon bimbit telah meruntuhkan tembok kecekalanku. Berita yang disampaikan oleh sepupuku benar-benar meruntun semangat yang kubina. Benar, Ya Allah, benar..Sejarah itu telah berulang. Pemergian kekandaku, ketika kubakal berdepan dengan peperiksaan besar. kehilangan nendaku ketika bergelumang dengan ujian dunia, dan kini abah besar juga Kaujemput Ya Allah. Tubuhku rebah seketika. Betapa lemahnya hama-Mu ini Ya Allah dalam menghadapi dua ujian dunia sekaligus, dalam mendepani sunatullah.. Betapa kerdilnya hamba Allah Yang Maha Penghiba.

hidup ini bagai lampu dinding
yang dinyalakan di malam hari
apabila minyak sudah kering
iakan pasti padam sendiri..

advencer si peniup ney



Kali ini ulasan buku yang menjadi pilihan penulis mengisi ruang maya ini. Seperti sebelum ini, janji untuk mewujudkan ruangan ini, akhirnya dengan izin Allah, buah tangan FT menjadi pilihan. Buku ini tidak pernah bosan dibaca berkali-kali kerana isinya sangat bagus sebagai persediaan menghadapi mehnah dan tribulasi. Menyingkap tirai kehidupan yang berlaku pada masa kini, Faisal Tehrani sangat berani menjadi kritikus yang berpegang pada paksi kebenaran. Karyanya yang tidak asing lagi dalam kalangan penggemar novel tempatan, advencer si peniup ney benar-benar memberi teguran kepada pemuja-pemuja hedonisme secara sinis.

Novel ini yang mengangkat Sulaiman sebagai watak utama juga seorang peniup ney muda dalam usia 18 tahun telah mengalami satu advancer bersama 40 ekor jin. Usaha dakwah yang dilakukan bagi memerangi gejala hedonisme serasa sangat akrab dengan situasi yang berlaku di Malaysia sendiri. Novel ini tampil membawa perubahan dan kesedaran betapa ambisi masyarakat yang kini mencintai hiburan melalaikan, hiburan tanpa tujuan melebihi dari matlamat yang lain..

Bahasa dan susunan ayat yang digunakan benar-benar sampai meski sesetengah golongan merasa berat dengan pengolahan bahasa oleh Faisal Tehrani. Negeri Fantasia yang dihuni jin-jin merah, masyarakat jin yang gemarkan muzik-muzik melalaikan, semuanya ada perkaitannya dengan industri hiburan Negara kita. Bagi yang mempunyai hati, membaca karya ini membuatkan kita sedar bahawa sangat dahsyat pengaruh hedonisme. Tamsilan dibuat melalui perwatakan jin-jin hakikatnya adalah gambaran masyarakat kita.

Ada dua perspektif yang kita boleh lihat melalui novel advencer si peniup ney ini. Pertama pandangan kita sebagai masyarakat yang melihat kebobrokan masalah sosial menerusi wahana hiburan. Kedua, persepektif kita sebagai daie dan pendakwah. Contoh ini dapat dilihat bagaimana sulaiman dan jin-jin dalam novel ini menggunakan ‘bahasa’ masyarakat tersebut sebagai pendekatan. Ada beberapa hujah dan dalil-dalil yang jelas dalam fatwa dan hukum muzik itu sendiri juga dimuatkan dalam novel ini. Nuansa-nuansa islami sangat jelas melalui contoh-contoh mudah yang banyak perkaitannya dengan realiti masyarakat kita. pemilihan watak sulaiman dalam novel ini seakan membawa pengaruh dan kekuatan nabi sulaiman a.s dalam menundukkan jin-jin dan kerajaan.

Kesimpulannya, kepada sesiapa yang belum memiliki novel Advencer Si Peniup Ney, silalah mendapatkannya. Sesiapa yang pernah memiliki atau membaca, layarkan perkongsian anda bersama teman-teman agar bacaan muda-mudi dan generasi kini bukan setakat majalah ringan, santai atau pun novel bernuansa cinta sahaja, tetapi novel yang sangat jelas mesejnya, juga sesuai sebagai sumber rujukan lebih-lebih lagi bagi yang masih keliru status hiburan dalam Islam.

persidangan pepijat 2

Suatu hari dalam sebuah keluarga pepijat, seekor pijat betina menangis dek kematian ramai anak-anaknya setelah beberapa operasi memburu-bunuh pepijat diadakan. Dalam tangis, dia mengadu masalah tersebut kepada suaminya yang tersayang.

"Saya betul-betul sedih dengan kematian anak-anak kita. Bangsat punya manusia, mereka tak ada otakkah?" Herdik si pijat betina sambil mengesat air matanya.

"Kerana mereka ada otaklah, mereka buru dan bunuh anak-anak kita tu. Siapa yang nak bagi darahnya percuma? Lebih baik mereka sedekahkah darah mereka kepada pusat-pusat derma darah atau hospital, kan lebih baik?" Kata si suami pijat jantan meredakan kemarahan isteri.

"Habis, diorang ingat, diorang saja yang nak beraidilfitri, kita ni? Habis generasi kita, pemuda-pemudi kita mereka bunuh. Bukankah kita sedang menghadapi krisis ketandusan generasi sekarang?" Si isteri pijat betina mencebik-cebik. Tangisannya andar.

"Hai darling, kalau nak diikutkan krisis generasi, rasanya generasi manusia lebih tandus dan pupus. Tandusnya akhlak dan pupusnya sahsiah. Bukankah itu lebih teruk dari mati berjuang meraih rezeki?" Si suami pijat jantan tersenyum tenang.

"Betul juga, sampai ada yang lahir anak luar nikah dalam bilik kampus!" Si isteri pijat betina terbeliak mata. Sejurus mengangguk-angguk kepalanya yang berbulu.

"Hei, tengah sedih-sedih dalam bulan puasa ni pun boleh mengata juga?" Si suami pijat jantan tersenyum sinis.

"Ni bukan mengata, ni berita!" Jawab si isteri pijat betina sambil tersengih-sengih.

persidangan pepijat


sumber ceritera ini (persidangan pepijat 1 dan 2) petikan dari http://amizakhusyri.blogspot.com


Suatu hari, ketua pepijat di asrama negeri meminta sekalian pengikutnya berkumpul. Ada perkara penting yang ingin disampaikannya.

Setelah hampir setengah jam menunggu, maka sekalian pepijat berkumpul di bawah sebuah katil di dalam sebuah bilik yang hening. Maka berkatalah ketua pepijat...

"Wahai sahabat-sahabatku sekalian, rasanya adalah tidak baik kita menyerang-gigit manusia di asrama negeri sekarang ini memandangkan ramai di antara mereka yang terkena demam, batuk dan selsema."

Ketua pepijat berhenti berucap sebentar sambil menggaru-garu perut buncitnya yang gatal.

"Tambahan pula, saya sudah mendengar kalam-kalam yang penduduk-penduduk asrama negeri ini akan mengadakan serangan balas secara habis-habisan terhadap kita semua. Justeru, sempena kedatangan bulan Ramadan kali ini, moleklah kalau kita mengurangkan sedikit kegigihan kita mencari darah-darah baru..."

Seekor pepijat yang senior bersuara...

"Saya tidak bersetuju. Jika nak diikutkan, waktu kita menyerang mereka pun bukanlah selalu. Kita hanya menyerang di waktu malam gelap, dan waktu antara 12 malam sebelum ke subuh. Kalau kita tidak langsung menyerang, habis, anak-anak dan isteri kita nak makan apa?"

Ketua pepijat menjawab...

"Saya faham, sahabat-sahabat memiliki kegigihan setiap hari untuk mencari darah, walau dengan cara apa sekali pun, termasuklah anak-anak dan isteri-isteri sahabat. Sehinggakan ada yang terkorban setiap malam bahana tujahan kuku manusia itu. Tetapi fikirkanlah sahabat-sahabat sekalian, ini merupakan helah kita sahaja, serangan hanya dihentikan sementara sahaja. Biar mereka fikir yang kita tidak wujud lagi di katil-katil kayu mereka itu. Barulah mereka tidak akan membasmi-hapus kita semua, macam mana?"

Seekor pepijat yang kecil tepuk tangan. Akhirnya semua bertepuk tangan menyetujui cadangan ketua pepijat itu.

Ketua pepijat berjalan kembali ke rumahnya dengan senang hati. Hatinya tidak putus-putus berkata : "Ha.. ha.. ha.. mudahlah aku memburu seorang diri malam ni!"

sumber: amiza khusyri.blogspot


Menghargai pendidikan zaman lampau
(dengan sedikit olahan)

i.

1970

Di sebuah desa yang permai, seorang ibu melihat tangan anaknya yang sedikit lebam sekembali dari sekolah tengah hari itu.

"Apa kena tangan engkau, Mamat?"

"Cikgu ketuk guna pembaris mak."

"Ha, padan muka kau! Siapa suruh nakal-nakal di sekolah."

2008

Di sebuah apartmen, seorang ibu melihat tangan anaknya yang sedikit lebam sekembali dari sekolah tengah hari itu.

"Apa kena tangan engkau, sayang?"

[Mula menangis] "Cikgu ketuk guna pembaris mak."

"Kurang asam punya cikgu. Tak apa, esok kita saman cikgu, esok kita saman sekolah ya?"


ii.

1970

Di sebuah sekolah, seorang pelajar ditangkap kerana melakukan kesalahan. Seorang guru ingin menghukum pelajar tersebut.

"Hulurkan tangan awak." [Pelajar itu menghulur tangan]

Zap! Zap!

"Maafkan saya cikgu, tolong jangan beritahu ibu bapa saya."

2008

Di sebuah sekolah, seorang pelajar ditangkap kerana melakukan kesalahan. Seorang guru ingin menghukum pelajar tersebut.

"Hulurkan tangan awak." [Pelajar itu enggan]

"Cikgu apa hal? Nak kena bunuh?"


iii.

1970

Seorang ibu sedang berbual dengan seorang guru apabila menghantar anaknya ke sekolah.

"Cikgu, kalau anak saya ni nakal-nakal di sekolah, cikgu cubit saja dia."

"Insya-Allah kak."

2008

Seorang guru memberi amaran kepada seorang pelajar untuk mencubitnya kerana nakal dan membuat bising.

Pelajar tersebut kembali ke rumah dan mengadu kepada ibunya yang duitnya berkepuk-kepuk dalam saku. Keesokannya, si ibu datang ke sekolah dan berjumpa dengan guru terbabit.

"Cikgu! Cikgu kata nak cubit anak saya? Sejak lahir sehingga hari ini saya sendiri tak pernah cubit anak saya tau!"

bingkisan warkah


Bismillahirrahman arraheem wabihi nasta’ieen. Wasolatuhu wasalamuhu a’la asyraf el-anbiya’I walmursalin. Wa a’la alihi wasohbihi ajmai’een. Thumma amma ba’du. Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Menemui kembali teman seaqidah seperjuangan, semoga sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Allah. Moga-moga urusan entum dipermudahkan insya’Allah. Barangkali ada di antara entum yang terkesima menerima warkah dari ana secara mengejut. Bahkan mungkin ada juga yang memikirkan atas alasan apa ana melayangkan warkah ini. Apa, ana bermimpi di siang hari kah? Namun, percayalah entum. Sesungguhnya percaturan hidup kita ditentukan oleh Yang Maha Kuasa. Biar kita dianugerahkan akal tetapi ruh kita, jasad kita , hati kita segalanya milik Allah. Atma ana merintih minta diluahkan ilhamnya. Gerak hati, setiap denyut nadi dan detak nafas ana digerakkan oleh Yang Maha Bijaksana. Minta diterjemahkan melalui penulisan. Lantaran itu, apa yang entum saksikan inilah, warkah mewakili ana yang kadangkala masghul dibatasi waktu. Yang merasa peritnya hidup dalam kewajipan dan amanah yang tidak sudah-sudah merantai diri. Namun, siapalah ana ini? Ketika di alam rahim lagi, janji kita pada Yang Esa untuk memakmurkan bumi. tetapi, sebagai manusia kerdil seringkali ana tersungkur, terhenyak di celahan waktu dan amanah yang gagal disempurnakan. Untuk itu, ana sering berharap warkah ini menjadi suara hati ana, yang inginkan kata-kata semangat. Biar hanya secangkir pesanan, selagi ianya boleh diteguk ana sedia menerima.

Teman seperjuangan sekalian. Kepada sahabat yang berpisah kerana cita-cita, meski haluan kita berbeza, ketahuilah matlamat kita tetap sama. Hubungan kita bukan hanya dibatasi jarak, bahkan adakalanya fiqrah juga menjadi sempadan. Entum yang berada di bumi kinanah, sering diulit dengan suasana Islami, ketahuilah, kita penggalas wasilah baginda Rasulullah. Kehadiran entum di tanah air sendiri lebih diperlukan sementelah entum berpeluang mendalami ilmu agama di celah timbunan dan robohan sejarah kegemilangan Islam. Ana di sini, hanya mampu berharap. Agar iman dan sisa-sisa ilmu yang tinggal mampu memacu diri ana menghadapi manusia yang berlainan fiqrah. Tidak ana sangkakan, keputusan memilih jalan ini turut mencampakkan ana ke lembah penuh liku. Pergaulan dan batas-batas berlainan jantina sering membuatkan ana keliru dengan tindakan ana sendiri. Apapun, selagi entum pantakkan kepercayaan dan keyakinan pada ana, insya’Allah jalan yang bakal ana harungi masih lagi terjaga. Mudah-mudahan.

Buat sahabat sefiqrah. Alhamdulillah, Allah masih lagi menyayangi diri ini. Biar diri berada di suasana berbeda, kehadiran entum sahabat seharakah umpama obor menyalakan hidup ana. Masih lagi segar diingatan. Tatkala ana terputus di tengah jalan, Allah masih inginkan ana bersama kalian. Berjuang melalui cara kesederhanaan. Slogan keramat yang memperkukuhkan lagi jalinan ukhuwah kita, “hidup Biar Berjasa” sering menghambat diri ana. Betapa Allah tahu apa yang dirancang-Nya. DIA mengikat ana agar terus berjuangbersama entum dengan taklifan. Tetapi bisikan hati kecil sering mengatakan tidak layak. Memegang saff pimpinan dengan tanggungjawab dakwah dan pembangunan insan, apa cukupkah lagi ilmu ana? Lengkapkah diri ini dengan syarat-syarat menjadi Da’ie dan Khalifah? Hanya doa dari entum sahabat seharakah, mengingatkan ana pada wasiat baginda. “Perumpamaan muslim kepada muslim lain, umpama satu jasad. Sekiranya ada satu anggota yang sakit, yang lain akan turut berjaga dan demam”. Tanzhim haraki, tamrin, waqi’ , furu’ dan sebagainya mendedahkan ana terhadap suasana Islami. Tempoh pimpinan telah bertukar tangan. Transisi kepimpinan juga mendidik ana agar sentiasa sedar perjuangan perlu diteruskan. Pengiktirafan manusia tidak menjamin kedudukan. Hanya taqwa yang mendapat tempat di pandangan Tuhan.

Sahabat-sahabat seperjuangan. Meski hidup kita bergelumang dengan lukisan, aturan masa yang tidak menentu, kebebasan pergaulan, tidak sedikit pun membataskan hubungan. Telah ana pasakkan dalam diri, tidak menjadikan perbezaan fiqrah sebagai halangan untuk berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman bahkan sisipan wasiat Tuhan. Selagi kita bernama manusia, fitrah telah mendidik kita untuk mencintai kebaikan. Cuma cara penyampain dan pengamalan mungkin berbeza. Namun, selagi ianya mengikut syariat, janganlah entum meletakkan sempadan di antara kita.

Buat teman yang boleh dianggap akh dan ukht, terima kasih terhadap ilmu dan pengalaman entum. Tidak ada kata yang ana mampu rakamkan melainkan lafaz uhibbukum fillah. Semoga layangan warkah ini, tidak hanya mewakili diri ana. Bahkan cetusan dan luahan hati ini memohon agar selama perkenalan bersama entum mendapat mahabbah dan inayah dari Allah. Bukan sengaja ana mencipta permainan hati di sini, tetapi ana rasakan perlunya mendidik hati agar sentiasa berhemah, berlemah lembut dan mencintai sahabat sebagaimana yang sering dilakukan baginda Rasulullah. Akhir kalam, seandainya peninggalan ana ke dunia fana, mohon dihalalkan ilmu yang dicurahkan. Sampaikan pesanan-pesanan dan wasiat ana yang bergantungan sebagai harapan agar ana memperolehi redha Tuhan melalui ilmu bermanfaat. Amiiiin

Faqir Fillah
hamba Allah Yang Maha Penghiba
‘uttaeqle’

semarakkan cinta

Semarakkan Cinta

Oleh Amiza Khusyri Yusof

Semua pelajar berdiri. Susuk tubuh setinggi lima kaki itu melangkah masuk dan berdiri di hadapan kelas. Salam diajukan dan ada jawapan berselang-seli dengan bunyi nafas turun naik. Kami duduk dan melihat susuk tubuh guru kelas kami di hadapan. Susuk yang sudah kami lihat sejak bertahun lalu. Renik-renik peluh membutir di dahi dan membasahkan kupiahnya. Kaca matanya sudah melorot ke hujung hidung. Ketiaknya lencun. Mujur dia pakai baju dalam dan memang Ustaz Habib selalu pakai baju dalam. Tali leher Ustaz Habib selalu padan dengan warna bajunya dan biasanya akan tergantung betul-betul di atas pusat. Memang perut Ustaz Habib memboyot dan apabila berjalan dia lekas termengah-mengah.

Ada juga di kalangan rakan-rakan yang jahat mulutnya. Macam-macam gelaran yang diberikan kepada Ustaz Habib - boyot, gemuk, lemak - dan macam-macam lagi tetapi Ustaz Habib tidak pernah ambil pusing. Dia seorang guru yang baik. Tidak pernah perkataan yang bukan-bukan keluar daripada mulutnya. Tidak seperti guru-guru lain yang kadang-kadang keluar juga perkataan bodoh, kurang ajar, dungu dan macam-macam lagi yang membuatkan hati kami bukan sekadar luka, tapi dilelas membengkak.

Ustaz Habib memulakan pengajarannya dengan nama Allah dan puji-pujian kepada Rasulullah. Kadang dia sendiri yang mengetuai bacaan doa dan kadang ketua kelas atau sesiapa yang dipilihnya. Yang lain akan tunduk mengaminkan. Sebelum memulakan pengajaran, Ustaz Habib akan meminta kami mengikhlaskan hati belajar kerana Allah. Memang semasa Ustaz Habib mengajar kami tidak pernah main-main. Suara Ustaz Habib lantang dan dia pandai menarik perhatian kami agar sentiasa fokus. Apabila ada sahaja di kalangan kami yang diterpa kantuk, dia akan meninggikan nada suaranya dan lekas-lekas menukar kaedah pengajaran dengan bercerita atau mengulas tentang isu-isu terkini. Kadang-kadang dia memaparkan gambar dan video-video pendek menarik sebagai selingan melalui projektor LCDnya. Hampir setiap hari masuk ke kelas, pasti ada sahaja Bahan Bantu Mengajar yang dikeleknya bersama. Ustaz Habib memang seorang guru yang kreatif dan rajin, dia bukan sahaja mahir berbahasa, malah mahir dalam bertukang, reka-bentuk grafik, ICT dan pelbagai lagi. Inilah yang menjadikan strategi pengajarannya berkesan dan tercalon sebagai Guru Cemerlang selama dua tahun berturut-turut.

Erti Cinta

Ustaz Habib tidak akan lupa meminta kami supaya sungguh-sungguh menghormati guru. Guru-guru adalah orang yang berilmu dan orang yang berilmu pengetahuan itu Allah tinggikan darjatnya. Dia membacakan ayat 11 dari Surah al-Mujadalah. "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat."

Ustaz Habib juga menyuruh kami menuntut ilmu bersungguh-sungguh. Orang yang berilmu sentiasa bimbang dan takut melanggar perintah Allah.

"Rapatilah guru-guru dan gaulilah alim ulama, maka Allah akan menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit." Ustaz Habib memetik pesanan Luqmanul Hakim kepada anak-anaknya.

Tiba-tiba selepas itu kami lihat Ustaz Habib menggenggam penumbuk lantas bersuara lantang, "Ayuh! Kita tuntut ilmu hingga liang lahad!" Kami tersenyum dan semangat merewak ke serata diri.

Ustaz Habib memang seorang motivator yang hebat. Pernah dua orang rakan kami – Rosli dan Hafiz - bertikam lidah dan bermasam muka lebih dari tiga hari dan perkara itu sampai ke pengetahuannya. Dia memanggil Rosli dan Hafiz dan membacakan sabda Rasulullah riwayat Ahmad, "Apabila Allah mencintai suatu keluarga, maka Allah memberikan sifat kasih sayang kepada seluruh anggota keluarga itu."

"Kita sekeluarga. Kamu berdua anak-anak ustaz. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Bermaafanlah." Mata Ustaz Habib bersinar cahaya cinta.
Kedua rakan kami itu teragak-agak ingin bersalaman, lantas Ustaz Habib menghampiri dan mengusap lembut belakang mereka sambil membacakan firman Allah dari Surah al-Baqarah ayat 237, "Bermaaf-maafan itu lebih hampir kepada takwa."

"Rosli dan Hafiz ingin menjadi anak yang soleh dan bertakwa, kan?" Ustaz Habib tersenyum mesra dan dua rakan kami tadi terus bersalaman ikhlas dalam senyuman ria berpanjangan.

Akrab

Suatu ketika, rakan kami Amir dilanda penyakit takbur dan pongah. Kami akui, dia seorang yang pandai berpidato dan guru-guru senang hati dengannya. Tetapi apabila bersama kawan-kawan, dia suka meninggi diri dan memperlekeh orang lain. Yang paling menghangatkan hati kami, dia pernah menjerit di dalam kelas mengatakan kami semua bodoh dan ketinggalan, hanya kerana kami menegurnya agar mengawal kata dan jangan ikutkan rasa hati. Suasana cinta dan kasih sayang tidak lagi menyelubungi kelas kami. Rasa amarah dan hasad memuncak.

Kami mengadukan petaka yang menimpa ini kepada Ustaz Habib. Dan pada suatu malam yang dingin, setelah hujan yang bertemali sejak pagi berhenti, Ustaz Habib datang berjubah putih bersih ke asrama, memanggil Amir berjalan bersamanya menuju ke tengah padang sekolah yang dilatari bunyi cengkerik.

Ustaz Habib memaut tangan Amir seraya mata memercu dada langit yang cerah. Bintang-bintang mengerdip dan bulan bercahaya penuh.

"Anakku, sungguh hebat ciptaan Tuhan pada langit itu, kan?" Ustaz Habib tersenyum manis. Amir hanya kerut kening memandang Ustaz Habib.

Angguk.

"Betapa kerdilnya kita di sisi Tuhan. Amir nampak bintang-bintang yang banyak dan tidak terkira itu? Nampak bulan yang terang benderang?" Amir mengalih pandang ke hampar langit.

Angguk.

"Ustaz seperti bulan itu Amir. Kamu dan rakan-rakan kamu seperti bintang-bintang itu. Kita saling indah mengindahkan, perlu memerlukan. Keluarga kita tidak akan cukup, jika kehilangan walau sebutir bintang." Suara Ustaz Habib lembut mengiringi bayu yang bertiup.

Amir lekas faham dan pandangannya jatuh ke arah rumput yang kelam.

"Ustaz sayangkan kamu semua seperti anak-anak ustaz. Jangan ada di antara kamu yang hilang rasa hormat menghormati dan merendah dirilah sesama kamu."

Amir sebak. Dia menyedari kekhilafannya.

Ustaz Habib membacakan hadis riwayat Muslim, "Tidak dapat masuk syurga seseorang yang dalam hatinya walau sebesar zarah dari sifat takbur."

"Hanya Allah yang layak bersifat Mutakabbir kerana hanya Dia yang Maha Hebat dan tiada selain-Nya. Jangan kita saling hina-menghina, keji mengeji anakku, kerana itu adalah sifat manusia yang jahat." Suaranya tegas tapi tetap menyulam kasih.

"Sa.. sa.. saya minta maaf, ustaz." Suara Amir tersekat-sekat. Apabila Ustaz Habib melihatnya, ada air mata yang tumpah dalam esak.

Ustaz Habib memeluk Amir erat-erat.

Ustaz Habib juga ialah guru kesayangan Amir. Justeru tindakan kami untuk mengadu perkara itu kepada Ustaz Habib adalah tindakan yang amat wajar. Dan tentunya tindakan sendiri tidak akan membawa manfaat, kecelakaan malah!

Cinta kerana Allah

Suatu pagi, kami sengaja membuka topik perkahwinan kepada Ustaz Habib yang akan genap dua puluh lapan tahun. Dalam diam, sebenarnya kami teringin melihat Ustaz Habib memperisterikan Cikgu Izzati, cikgu matematik yang muda dan comel.

"Ustaz, Islam menggalakkan umatnya berkahwin, kan?" Muin, rakan kami yang gempal berpipi montel bertanya dalam senyum-senyum.

Tiada respons.

Amir, rakan kami yang pandai berpidato itu membacakan hadis riwayat Bukhari dan Muslim dengan kuat, "Barangsiapa di antara kamu berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah, sebab perkahwinan itu dapat menyekat pandangan mata dan menjaga kemaluan."

Ustaz Habib tersenyum lantas berkata, "Hadis yang kamu baca tu tak habis. Cuba habiskan yang hujungnya, Amir."

"Tetapi barangsiapa yang tidak berkuasa, maka hendaklah dia berpuasa, sebab puasa itu melemahkan keinginan." Amir menyambung, tapi kali ini suaranya perlahan dan mendatar.

"Cikgu Izzati tu cantik ustaz, masih bujang." Hafiz terlontar ayat itu seraya menekup mulut. Buat-buat bersalah.

Ustaz Habib menggeleng. "Ustaz belum bersedia, dan tiada siapa yang mahu ustaz gemuk kamu ni." Ustaz Habib kelihatan malas meladeni kami dan bersedia ingin memulakan pengajarannya.

Ketika itu mahu sahaja kami menjawab, rupa paras itu tidak penting, dan kami menyayangi ustaz juga bukan kerana tubuh badan, tapi kerana hati ustaz yang mulia, ikhlas dan penuh cinta. Tapi, rasa itu kami semat dalam hati, nun terpahat kemas dalam sanubari.

Demi Cinta

Suatu pagi, hujan turun dengan lebatnya. Angin tidak lagi semilir, tetapi mengganas dan menerkam apa sahaja yang ada di depannya. Koridor, meja-meja yang letaknya berdekatan jendela basah terkena tempias yang kasar.

Kami di dalam kelas berasa tidak sedap hati. Ustaz Habib meminta kami ramai-ramai membaca doa dan berzikir.

Saat itulah datang Cikgu Izzati memanggil Ustaz Habib di muka pintu entah atas urusan apa, dan ketika Ustaz Habib bangun dan berjalan ke muka pintu, dia terjatuh di atas permukaan lantai simen yang licin.

Bunyi kuat kedengaran.

"Ustaz!" Cikgu Izzati menjerit. Kami terpempan. Jantung kami berdegup pantas. Kami bangun beramai-ramai dan menerpa ke arah Ustaz Habib yang terlentang tak sedarkan diri.

Kami berkerumun. Cikgu Izzati lantas bergegas ke pejabat. Lantai yang licin tidak dihiraukannya.

Ustaz Habib dibawa ambulan ke wad kecemasan. Dan kami beramai-ramai ke hospital hari itu dengan menaiki bas sekolah. Suasana di ruang menunggu kusam dan sunyi. Tiada siapa yang berani mengeluarkan kata-kata. Cikgu Izzati kelihatan mengalirkan air mata. Dia duduk bersama tiga orang guru lain, juga pengetua, kelihatan sedih dan berdebar menanti kemunculan doktor. Keluarga Ustaz Habib sudah dimaklumkan. Berdebarnya hati kami tidak dapat digambarkan. Dia guru yang kami sayangi. Terlalu!

Doktor keluar tiba-tiba dari bilik kecemasan. Pengetua bingkas bersama guru lain. Kami menyerbu dan berkerumun. Doktor memandang kami seorang demi seorang.

"Bagaimana dengan ayah kami doktor?" Rosli bersuara cemas. Doktor terkejut. Pengetua terbeliak mata. Guru lain kaku. Cikgu Izzati sudah teresak-esak.

"Ustaz seperti ayah kami." Pintas Amir dengan nada tegas.

"Ustaz kamu mengalami throm-bosis yang menyebabkan berlakunya cerebral embolism. Arterinya tersumbat dan otaknya tidak mendapat bekalan darah dan oksigen yang secukupnya."

"Maksud doktor, Ustaz Habib terkena stroke atau angin ahmar?" Pengetua bertanya dengan kening berkerut. Detak jantung kami mulai kencang.

Doktor mengangguk. "Pesakit juga dikesan menghidapi tekanan darah tinggi dan diabetes."

Kami semua terbeliak mata. Hampir tidak percaya.

Doktor memandang ke arah kami seorang demi seorang kemudian tertunduk. Kami jadi semakin cemas dan degup jantung semakin laju.

"Kami telah cuba sedaya upaya. Allah lebih menyayanginya." Ayat doktor terhenti di situ.

Amir dan Rosli terhenyak di atas kerusi menunggu. Dua tiga orang lagi menekup muka. Kami terasa seperti hendak pengsan. Bagai tidak percaya, kami sudah kehilangan insan yang kami kasihi. Kenangan-kenangan lalu bagai berputar-putar di ruang fikir dan mencetuskan rasa sebak yang sukar dibendung, dan seorang demi seorang mengalirkan air mata.

Angkatan Mahabbah

Itulah kali terakhir kami bersama Ustaz Habib. Peristiwa yang apabila kami kenang kembali akan menyuntik inspirasi untuk meneruskan perjuangan yang tiada intiha.

Kini, kami sudah jauh membawa halatuju masing-masing dan majoriti daripada kami memilih untuk menjadi pendidik. Ada inspirasi sentiasa subur dalam hati kami, yang disemai oleh seorang guru berwibawa, yang lembut bicara, berhati mulia, berhikmah dan bijaksana. Dia mengajar kami tentang nilai kasih sayang sesama bertunjangkan cinta Tuhan. Insan ini mengingatkan kami kepada hadis riwayat Tabrani yang menyatakan bahawa orang yang paling hampir dengan Rasul tercinta ialah orang yang terbaik akhlaknya, yang lemah lembut dalam pergaulan.

Kata Ustaz Habib selalu, bawalah cinta ke mana-mana, kamu pasti akan berjaya. Kamu perlu menjadi angkatan mahabbah yang menebarkan cinta di mana-mana seperti firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 103, "Maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara."

Ustaz Habib menokok lagi, "Dan orang yang bersaudara itu sentiasa berkasih sayang."

Kami bawa cinta ke mana-mana. Kami angkatan mahabbah sedang menebarkan cinta di mana-mana. Sentiasa segar kata-kata Ustaz Habib. Kata-kata yang menjadi azimat hidup kami sampai bila-bila.

"Ayuh, kita semarakkan cinta!"

©Berita Minggu, 1 Jun 2008

berbakti pada tanah

Ahad,
Batang Berjuntai,
Rawang, selangor

Mentari memancarkan sinarnya. Terbit garang dari celahan lelangit. Peluhku merenik. Mataku melirik jam di tangan. Lagi beberapa minit jam dua belas menjengah. Kepanasan yang luar biasa seakan mematahkan niatku untuk terus bekerja. Namun, ku gagahi jua. Terpana mata ini menangkap kegigihan ibu yang menghampiri usia 60 tahun dalam keadaan yang begitu hiba. Genggaman cangkul di tangan dipegang erat bagaikan ianya akan lari. Kata-katanya menerjah ke kotak fikiran ku. "Acu, hidup bila dah usia macam ibu ni, selain berbakti pada Allah, pada tanah le kita kena berbakti. Kat situ jugak kita akhirnya".

Pukk! Lamunanku serta merta hilang diterbang angin petang. Seraya mendengar bunyi tersebut, aku berjalan ke arah ibu. Ku lihat muka ibu pucat. Mungkin terlalu gigih bekerja. Kalau diikutkan, bukanlah aku bersungguh sangat mahu berkebun hari ini. Tapi, pandangan mata ibu yang menyeret seribu pengharapan menyerbu menggigit-gigit perasaanku. Ku minta ibu berehat di pondok. Sambil itu, ku sudahkan sisa-sisa kerjanya yang masih berbaki. Aku bulatkan dalam atmaku, kerja yang ku lakukan ini adalah mencari keredhaan Allah. Biar hati ku dipaut ketenangan. Biar kepanasan menampar muka ini.. aku bantu ibu, kerana Allah. Kemudian aku nyalakan mancis. Ibu telah memintaku membakar dedaun kering yang dikumpulnya tadi. Aku duduk termenung sambil mengais-ngais ranting dan dedaunan kering. Kayu-kayu kecil ku campakkan ke dalam lautan api kecil.

Bahang api menari-nari, menghembuskan kepanasannya seolah-olah aku berada di tempat pemanggangan. Pada mulanya, aku cuba menjauhkan diri. Tetapi aku memilih untuk berada berdekatan dengan api tersebut. Peluh-peluh merembes berebut-rebut keluar dari rongga tubuhku. Alangkan api di dunia sebegini kecil tidak mampu ku tahan, bagaimana dengan api neraka? Serta-merta aku dipupuk keinsafan dan rasa takut. Ranting-ranting kayu dibakar sehingga menjadi abu dalam masa yang singkat. Tetapi, bagaimana pula api neraka menghangus dan menjadikan manusia sebagai bahan bakarnya? Ya Allah, di manakah tempat aku di akhirat kelak? Benarlah, dengan berbakti pada tanah membuatkan kita lebih mudah mengingati mati. Alam ciptaan Allah sentiasa mendidik jiwa mendekati-Nya.